AKU MAHU
Aku Mahu
by safuranordin
Aku jadi sedih
Melihat Al-Aqsa dirampas dan diragut kesuciannya
Tetamu Al-Aqsa ditapis si durjana
Tempat suci itu diperlakukan sewenangnya
Aku jadi berang
Melihat rakyat Palestin diperlakukan sehinanya
Kanak-kanak dipukul dan dilawan dengan senjata
Mereka yang tidak bersalah dipenjara dan disiksa
Aku jadi marah
Melihat dengan tembok berhasta tinggi, Gaza dipenjara
Tiada bantuan makanan dan ubatan dibenarkan melepasinya
Hanya terowong sempit penyambung bekalan untuk mereka
Ada apa dengan sedihku?
Ada apa dengan marah dan berangku?
Hendak di bawa ke mana perasaan itu jika ia bertahan sesaat cuma?
Aku mahu Palestin bebas ya Allah
Aku tidak mahu umat islam ditindas
Mampukah aku menjadi seperti Salahuddin?
Ketika Salahuddin sibuk memikirkan nasib Al-Aqsa
Sehingga kelihatan tidak pernah ketawa
Aku masih sibuk memikirkan masalah cinta
Masalah hati yang tak pernah reda
Tidak tentu hala kerananya
Mampukah aku menjadi seperti Salahuddin?
Ketika Salahuddin memilih untuk hidup sederhana
Di medan peperangan masih tetap berpuasa
Aku masih sayangkan harta dunia
Memuaskan keinginan diri tanpa usaha menyekatnya
Mampukah aku menjadi seperti Salahuddin ya Allah…
Sekiranya ketika Salahuddin sujud dengan penuh kerendahan diri
Meminta pertolonganMU bagi membebaskan Al-Aqsa
Aku masih sujud dengan penuh kerisauan
Memohon kebaikan untuk diriku cuma
Mampukah aku menjadi seperti Salahuddin?
Ketika Salahuddin menumpukan seluruh tenaganya
Membina kekuatan islam bagi menawan Baitu Maqdis semula
Aku masih sibuk menumpukan perhatian saban malam
Dengan game, lagu dan drama
Aku mahu menjadi seperti Salahuddin
Seluruh usianya tertumpu untuk membebaskan Palestin semata
Aku mahu generasiku nanti juga sehebat Salahuddin
Yang tidak pernah gentar dengan musuh yang ramai
Kerana pergantungan kepada Allah melebihi segalanya
Aku mahu rakan-rakanku juga seperti Salahuddin, ya Allah
Strategi peperangan Rasulullah menjadi petua kejayaannya
Kerananya azan berkumandang kembali di Baitul Maqdis
Setelah 88 tahun lamanya
Namun aku cuma tahu mahu tanpa usaha……
Ketika mereka bertanya
Dimana harus dicari insan seperti Salahuddin?
Katakan kepada mereka
Hadapkan dirimu di hadapan cermin
Dan carilah disana


Tweet This
Share on Facebook
Digg This
Save to delicious
Stumble it
RSS Feed





