DEMI AL-AQSA 2011
Seoul, 19 November 2011- Bumi Korea Selatan melakarkan sejarah apabila program Demi Al-Aqsa 2011 anjuran Isma Korea dan Aman Palestin Berhad berlangsung dengan jayanya. Program ini juga mendapat kerjasama yang jitu daripada persatuan-persatuan di Korea seperti Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) dan Kelab Umno Korea (KUK). Program yang dijalankan di Dongyang Mirae University ini dihadiri seramai lebih dari 150 peserta dari serata Korea termasuk dari dalam dan luar Seoul.
Bermula jam 8 pagi dewan mula dipenuhi oleh para ajk untuk memastikan kelancaran majlis dan berakhir pada pukul 10.30 malam. Aktiviti pagi diserikan dengan persembahan nasyid, pertandingan tilawah dan hafazan, persembahan melankolik pejuang, pertandingan Informative Presentation, persembahan sajak bagi pihak pelajar perempuan. Pada waktu tengah hari majlis di teruskan dengan pameran, jualan, pertandingan khat dan pertandingan menjawikan tulisan rumi dengan isu bertemakan Salahuddin dan Palestin. Pada masa yang sama, dedication item diagihkan kepada pelajar-pelajar.
Pada malam kemuncak, program Demi Al-Aqsa 2011 yang bertemakan Searching For Salahuddin (ㅅ 4 ㅅ) ini dirasmikan oleh Presiden PPMK, saudara Halmi Alwi. Program ini juga menampilkan penceramah yang sangat dekat hatinya dengan isu Palestin, Dr Zainur Rashid Zainuddin membentangkan tajuk “Masa Depan Palestin : Membina Generasi Sehebat Salahuddin”. Hampir 2 jam masa berlalu tanpa disedari kerana masing-masing khusyuk mendengar pengisian yang disampaikan oleh Dr Z. Penerangan Dr Z merangkap sejarah Palestin, Salahuddin dan langkah-langkah bagaimana kita mendidik diri untuk mencontohi jejak langkah Salahuddin. Selain itu, majlis juga diserikan dengan persembahan-persembahan menarik yang menampilkan Reunion AFU menyampaikan persembahan nasyid yang begitu bersemangat dan bertenaga, begitu juga dengan penyampaian sajak dan pidato yang membakar semangat para hadirin untuk bangkit memainkan peranan dalam menyelamatkan umat Islam khususnya di Palestin.
Antara acara yang julung kali diadakan ialah Bid 4 Palestine. Acara ini mendapat sambutan di luar jangkaan apabila harga bidaan adalah melebihi lima kali ganda harga sebenar barang tersebut. Memetik satu hadis Rasulullah SAW:
“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”. (Riwayat Bukhari)
Justeru, sejajar dengan semangat dan perjuangan yang dimiliki oleh pejuang di bumi palestina, ISMA Korea juga berasa terpanggil untuk menyuburkan lagi semangat tersebut di kalangan siswa siswi bumi sonata ini. Berbekalkan harapan bahawa mahasiswa juga boleh memainkan peranan besar dalam usaha membebaskan baitul maqdis, program-program akan diatur sepanjang tahun untuk mahasiswa di sini. Diharapkan juga program Demi Al-Aqsa akan terus menjadi program tahunan di bumi korea.
LAPORAN DISEDIAKAN OLEH :
PEN. PENGARAH DAQ 2011
SITI ZULAIHAH ABDUL KARIM






Tweet This
Share on Facebook
Digg This
Save to delicious
Stumble it
RSS Feed





